Thursday, January 20, 2011
TOK MORIS @ TOK MO REH @ SYED IDRIS
Tok Moris ialah seorang pahlawan Kedah yang
terkenal. Cerita tentang kehebatan Tok Moris ini diwarisi turun temurun oleh
keturunannya yang bertebaran di tanah air ini terutamanya di Kampung Kubur
Panjang, Pendang, Kedah Darul Aman. Tok Moris atau Tok Mo Reh ini merupakan
singkatan nama Tok Bomoh Idris. Gelaran Tok Bomoh ini merupakan nama penyamaran
yang digunakan ketika saat kritikal pasca Perang Musuh Bisik 1821. Nama sebenar
beliau ialah Syed Idris yang suatu ketika dulu pernah menjadi Raja Kota Star,
Kedah.
Foto1:
Pedang milik Wan Darus yang mempunyai hulu yang hampir sama dengan hulu pedang
Tok Moris.
Nama
penuh Tok Moris menurut urutan salasilah ialah Syed Idris ibni Syed Hatta ibni
Sultan Muzaffar III ibni Syarif Abu Bakar Syah ibni Sultan Muhyiddin Mansur Syah
ibni Sultan Mahmud ibni Nai Hisbu Muadzam Syah ibni Sultan Zahiruddin Muhammad
Syah I (Pengasas Empayar Mughal India). Jika dilihat kepada pedang yang
digunakan oleh Tok Moris kelihatan dengan jelas wujudnya pengaruh Mughal dalam
reka bentuk pedang tersebut.
Foto
2: (Dari buku The Last Mughal, William Dalrymple) menunjukkan pahlawan Mughal menggunakan 2 pedang mirip
seperti pedang Tok Moris dan Wan Darus. Persoalan mula timbul adakah Tok Moris
dan Wan Darus adalah orang yang sama? Idris @ Idrus, Deris @ Derus @ Darus?
Persoalan ini hanya berdasarkan pahlawan Mughal di atas menggunakan 2 bilah
pedang untuk seorang.
Menurut
manuskrip Undang-Undang Kedah ciri-ciri pedang yang dimiliki oleh Tok Moris
menggambarkan beliau adalah seorang anak raja. Dan sememangnya gelaran panglima
pada masa dahulu juga adalah untuk anak dan putera raja. Anak dan putera raja
inilah yang akan mempertahankan ayahanda mereka iaitu raja yang memerintah. Tok
Moris merupakan Raja Kota Star yang telah dilantik oleh datuknya Sultan Muzaffar
III atau lebih dikenali sebagai Koya Long @ Po Chan @ Raja Kemboja.
Foto
3: Kota Star yang pernah menjadi pusat pentadbiran dan pertahanan di bawah
pemerintahan Tok Moris. Dapat dilihat dengan jelas motif Bunga Teratai atau
Bunga Tunjung pada pintu gerbang kota tersebut.
Kelompok
keturunan Tok Moris yang terdapat di Kampong Kubur Panjang adalah dari jurai
isteri pertama beliau iaitu Nai Long Anyai yang merupakan kakak kandung kepada
Sultan Jaafar Muadzam Syah ataupun lebih dikenali sekarang ini di dalam sejarah
mainstream sebagai Encik Long Jaafar.
Perkahwinan ini merupakan perkahwinan antara sepupu kerana Syed Hatta merupakan
adik kepada Syed Alang Alauddin @ Panglima Bukit Gantang. Manakala Panglima
Bukit Gantang pula merupakan ayah kepada Long Jaafar. Selain dari Nai Long Anyai
ada lagi beberapa orang isteri beliau termasuk salah seorang dari keturunan Cina
Manchu.
Pasca
Perang Musuh Bisik 1821 memberi tekanan yang amat dahsyat kepada keturunan
Merong Maha Wangsa kerana selain dari berperang dengan penjajah British dan Thai
mereka berhadapan dengan musuh dalam selimut, duri dalam daging, gunting dalam
lipatan dan api dalam sekam dari kaum kerabat yang sanggup bersekongkol dengan
penjajah semata-mata mahukan kuasa tanpa maruah. Semasa saat kritikal ini
penyamaran dengan pelbagai nama dan karektor dilakukan untuk keselamatan
keturunan. British dan Thai amat mudah dikenali tetapi pengkhianat dan talibarut
dari bangsa sendiri amat sukar dikenalpasti. Ini adalah perkara lumrah yang juga
berlaku kepada Tengku Muhammad Saad, Mat Kilau dan lain-lain yang terpaksa
menyamar untuk tidak dikenali oleh pengkhianat dan talibarut penjajah. Pejuang-
pejuang ini bukanlah orang kebanyakan tetapi terdiri dari anak atau putera raja
dan kerabat yang tidak mahu bersekongkol dengan penjajah.
Legasi
perjuangan ini terus diwarisi dan dizahirkan oleh salah seorang anak Tok Moris
iaitu Syed Zainal yang juga dikenali sebagai Tok Jenai @ Janai. Tok Jenai ini
merupakan datuk dari sebelah ibu kepada Mahaguru Silat Seni Gayong iaitu Dato
Meor Abdul Rahman. Dan sesungguhnya Silat Seni Gayong yang dizahirkan oleh Dato
Meor Abdul Rahman ini adalah warisan Hang Tuah boleh diperjelaskan melalui
salasilah keturunan Merong Maha Wangsa. Titisan darah Hang Tuah sememangnya
mengalir dalam tubuh Dato Meor Abdul Rahman kerana beliau ialah cicit kepada
Syed Idris, yang merupakan cucu kepada Sultan Muzaffar III, yang merupakan anak
kepada Puteri Suryamarin, yang merupakan anak kepada Sultan Langkat @ Tok Pasai,
yang merupakan anak kepada Laksamana Hang Tuah @ Tun Saaban @ Narai Maharaja
Ayuttaya @ Sultan Iskandar Mahkota Alam Acheh.
Berdasarkan perkara tersebut di atas, tidak hairanlah jika
terdapat tari Bunga Teratai atau Bunga Tunjung yang merupakan tari sembah Silat
Seni Gayong. Begitu juga lambang naga
dan harimau yang digunakan oleh Silat Seni Gayong menunjukkan satu legasi Merong
Maha Wangsa yang dizahirkan oleh mahaguru. Bersesuaian dengan sajak mahaguru
yang berbunyi
Seni
Gayong seni pusaka
Dipimpin oleh putera negara
Supaya dapat taat setia
Amanah guru harus dijaga
Dipimpin oleh putera negara
Supaya dapat taat setia
Amanah guru harus dijaga
Siapakah
putera Negara yang dimaksudkan? Mereka ialah Hang Tuah, putera kepada Nai Hisbu
Muadzam Shah. Mereka ialah Sultan Muzaffar III, putera kepada Syariff Yang Di
Pertuan Abu Bakar Syah. Mereka ialah Panglima Bukit Gantang, putera kepada
Sultan Muzaffar III. Mereka ialah Syed Idris, putera kepada Syed Hatta Raja
Kayang Indera Sakti.
Foto
4: Lambang Silat Seni Gayong yang menzahirkan semula legasi Merong Maha
Wangsa.
Kajian
yang mendalam perlu dilakukan untuk mencari dan menggali semula bukti-bukti yang
telah digelapkan oleh penjajah. Anak-anak Gayong dari pelbagai cabang ilmu perlu
bergabung untuk membongkar misteri legasi ini. Bersesuaian dengan kata mahaguru
Dato Meor Abdul Rahman
Kaji sejarah Gayong baru tahu ia pusaka
Kenal masakan tak cinta
Tahu masakan tak pelihara
Pusaka milik kita
Rekaan
hanya sementara
No comments:
Post a Comment